& Lima syarat

Lima syarat... buat maksiat.

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata;

"Wahai Abi Ishak! Selama ini aku gemar melakukan maksiat.
Tolong berikan aku nasihat."

Setelah mendengar perkataan tersebut, Ibrahim berkata;

"Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya;
maka bolehlah kamu melakukan maksiat."


Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya;

"Apakah syarat-syarat itu, wahai Abu Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata;

"Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah,
jangan kamu memakan rezekinNya."

Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata;

"Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah."

"Ya." Tegas Ibrahim bin Adham.

"Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah kamu memakan rezekiNya,
sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar segala laranganNya?"

Syarat kedua kata Ibrahim;

"Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya."

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut yang amat sangat. Ibrahim kembali berkata kepadanya;

"Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sedangkan kamu melanggar segala laranganNya?"

"Ya, anda benar," kata lelaki itu.

Dia kemudian menanyakan syarat ketiga. Ibrahim menjawab;

"Kalau kamu masih bermaksiat,
carilah tempat persembunyian yang tidak dapat dilihatNya."

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata;

"Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana?
Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"

"Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat keempat.

Ibrahim melanjutkan;

"Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, ketepikan kematianku dulu, aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh."

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar,

"Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku."

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematian, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apakah syarat kelima?"

Ibrahim pun menjawab;

"Wahai Abdullah, kalai malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringimu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata;

"Wahai Abu Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya."

Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran.

"Mulai saat ini, aku mahu bertaubat kepada Allah,"
kata Abdullah sambil teresak-esak dengan perasaan keinsafan.


No comments:

Post a Comment