& Selamat Menyambut Ramadhan

Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir sekalian alam, Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Bersyukur SujueZ ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinnya dapatlah kita bertemu lagi pada hari ini.

Memang sudah agak lama juga SujueZ menyepi tanpa berita kerana menghadapi beberapa kesibukan yang tidak terbatas. Namun dengan izinNya jua SujueZ dapat kembali mencoret sedikit cerita di ruangan blog kesayangan ini. Menyepi bukan bermakna terus hilang lesap ke mana-mana. Insya-Allah dengan izinNya jua lah SujueZ berpeluang bersua bertemu rakan-rakan blog yang dihormati semua.

Di sini SujueZ ingin menyampaikan sedikit maklumat atau info mengenai bulan mulia Ramadhan yang bakal menjelma lusa atau tulat, insya-Allah.

PENGERTIAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan itu diambil dari kalimat dalam bahasa Arab, Ramadhan itu bererti panas, menurut riwayat bahawa ketika mula-mula orang Arab memberi nama bagi tiap-tiap bulan itu, berlaku Bulan Ramadhan ini di musim panas.

Dalam hubungannya dengan syariat Islam Ramadhan itu dikekalkan oleh kerana panasnya bahang kelaparan puasa akibat lapar dan dahaga itu hapuslah segala dosa.

Ramadhan Datang dan Pergi

Ramadhan datang silih berganti pada setiap tahun. Ramadhan yang lalu telah pergi jauh meninggalkan kita dengan kesan dan amalan. Pada setiap Ramadhan datang, kaum muslimin memuliakannya dengan ibadah, puasa dan berbuka, solat terawih, tadarus, sahur serta solat subuh yang dijaga waktunya.

Ramadhan yang berkuunjung setahun sekali merupakan suatu kesempatan bagi kaum muslimin yang berlumba-lumba dalam mengejar kebajikan. Amalan-amalan yang dilakukan di bulan Ramadhan adalah:

  1. Hendaklah setiap orang Islam itu menjauhkan segala perbuatan jahat zahir dan batin.
  2. Mencari jalan untuk membuat kebajikan sebanyak mungkin seperti sembahyang, tasbih, membaca Al-Quran dan berzikir.
  3. Menghadiri majlis-majlis ilmu.
  4. Menghadiri sembahyang jemaah.
  5. Berbuat baik kepada ibu bapa.
  6. Berbanyakkan sedekah seperti menjamu orang berbuka puasa.
  7. Membanyakkan taubat, Rasullulah bersabda maksudnya: "Allah berfirman pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan, adakah sesiapa meminta sesuatu, pasti aku beri permintaanya, adakah sesiapa meminta taubat, pasti aku beri taubat, adakah sesiapa pinta ampun, pasti aku beri ampun."
  8. Mengerjakan puasa dengan bersungguh-sungguh, tekun, menjaga perkara-perkara yang membatalkan puasa yang makruh, banyakkan berbuat perkara yang sunat.
  • Pelihara mata dari melihat yang haram.
  • Pelihara lidah daripada cakapan keji seperti berbohong, mengeluar kata memaki-hamun.
  • Pelihara anggota seperti kaki, membuat yang haram dan perut jangan masuk makanan yang haram.
  • Jangan makan terlalu banyak waktu berbuka kerana ia akan menyebabkan hilangnya tujuan berpuasa dan membawa kepada malas beramal.
  • Jangan lupa tiap-tiap malam mengharapkan mendapat "lailatul Qadar" lebih-lebih lagi malam yang terakhir Bulan Ramadhan.
Rasullulah bersabda yang bermaksud:

"Kalaulah umat aku tahu bagaimana besarnya kelebihan Bulan Ramadhan itu, pasti mereka mengharapkan setahun itu Ramadhan semuanya."

Kita tidak seharusnya lupa akan peringatan ini, malah perlu lebih membuat kebaikan, amal ibadat supaya kita tidak terkandas di kemudian hari. Penyesalan di akhirat kelak tidak lagi memberikan apa-apa makna sekalipun kita tangisi dengan air mata darah.

Sifat manusia yang mudah lupa menyebabkan kita seringkali hanyut dibuai mimpi-mimpi duniawi, menjadi taksub kepada harta benda seperti bertuankan duit serta kekuasaan. Sesungguhnya Allah Maha berkuasa ata sekelian alam.

Akhir kata SujueZ ingin mengucapkan "Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak".

Sekian, Wassalam.

SujueZ
baizura_042000@yahoo.com


No comments:

Post a Comment